Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 3.30 petang dan siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu merupakan seorang pegawai polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

62 pendatang tanpa izin ditahan di Pasir Mas

PASIR MAS, 12 Jan : Polis menahan 62 pendatang tanpa izin warga Myanmar dan tiga warga tempatan disyaki dalang sindiket penyeludupan manusia dalam tiga serbuan berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 37 lelaki dan 25 wanita berusia 11 hingga 44 tahun kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen dan disyaki baru sahaja memasuki negara ini.

Katanya, tangkapan membabitkan penahanan 46 pendatang tanpa izin pada Isnin lepas di dua lokasi iaitu di Kampung Sapi dan Kampung Pusu 40, manakala 16 lagi ditahan di Kampung Siram dalam serbuan malam tadi.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, pihaknya telah menahan seorang kanak-kanak dan lima remaja berusia antara 11 hingga 17 tahun di sebuah lot kedai tidak bernombor di Jalan Pusu 40 pada 4.45 petang.

“Dalam serbuan itu, dua anggota kereta peronda MPV telah membuat pemeriksaan di sebuah lot kedai yang tidak bernombor dan menemukan enam warga Myanmar terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan bersembunyi di dalamnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini dan kesemua mereka mengaku warga Myanmar. Mereka ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata berdasarkan siasatan, kesemua warga Myanmar itu mengaku baru sehari tiba di negara ini dengan dihantar oleh seorang lelaki warga Thailand menggunakan kenderaan dan telah tinggal di lot kedai lama tersebut tanpa kebenaran mana-mana pihak.

Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan kedua di Kampung Sapi, Jeram Perdah pada 10 malam hari sama, polis menahan 40 warga Myanmar terdiri daripada 29 lelaki dan 11 perempuan berusia 14 hingga 44 tahun.

Katanya, kesemua suspek ditemukan bersembunyi di dalam kawasan semak yang gelap dipercayai selepas memasuki negara ini melalui pengkalan haram Jeram Perdah 2.

“Mereka berjaya ditahan walaupun cuba melarikan diri manakala hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata kesemua pendatang itu disyaki akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan dalang yang menyediakan pengangkutan untuk menghantar mereka ke sana. 

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan malam tadi di belakang sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Siram, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama 16 warga Myanmar, manakala dua lagi individu lelaki dan wanita masing-masing berusia 36 dan 27 tahun ditahan hasil penahanan sebuah kenderaan kawasan berdekatan kira-kira 2 pagi.

Beliau berkata polis turut menemukan tiub straw mengandungi tiga pil kemerehan disyaki dadah di dalam kenderaan berkenaan.

“Soal siasat awal yang dilakukan mendapati lelaki berusia 36 tahun yang turut mempunyai lima rekod berkaitan dadah itu tidak mengaku mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan manusia.

“Wanita berusia 27 tahun yang ada bersamanya juga tidak mengaku mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut namun mengatakan teman lelaki yang baru dikenalinya itu yang terlibat dengan kegiatan berkenaan,” katanya sambil menambah polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas permohonan reman ke atas pasangan kekasih itu diperolehi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan