Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Ajar pelancong ‘masak’ kek lapis Sarawak

KUCHING, 11 Jan: Kunjungan ke Sarawak pasti tidak lengkap tanpa menikmati pemanis mulut terkenal di negeri ini iaitu kek lapis.

Majoriti pelancong yang bertandang ke Bumi Kenyalang juga pasti akan ‘memborong’ kek sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke tempat masing – masing.

Siapa yang tidak ‘gelap mata’ apabila mendapati harganya cukup ‘mesra poket’ selain kelazatan yang tidak boleh dipertikai.

Di kalangan banyak pengusaha kek lapis di sini, jenama Kek Lapisan Warisan Sdn. Bhd. tampil menawarkan kelainan kepada pengunjung yang singgah membeli kek lapis keluaran mereka.

Pemiliknya, M Hafeezi Abdullah berkata, kelainan yang dimaksudkan ialah memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta membuat kek lapis.

Benar, prosesnya tidak mudah kerana memerlukan ketelitian namun itulah yang menarik minat pengunjung.

” Kita benarkan pelanggan lihat proses membuat kek lapis bermula daripada proses adunan tepung, mencorakkan kek lapis, mewarna malah sehingga ke proses membakar yang mengeluarkan haruman yang cukup membuka selera,” katanya kepada TVS di sini baru-baru ini,

Seindah warna dan sesedap rasa. Inilah keistimewaan kek lapis Sarawak yang tidak terdapat di negeri lain.

Menurut M Hafeezi, dia mendapat idea berkenaan selepas menyedari kek lapis Sarawak sangat diminati oleh rakyat di semenanjung dan sanggup memborong dalam kuantiti yang banyak jika bertandang ke Kuching.

” Pada masa sama, saya mahu mengetengahkan keunikan hidangan popular Sarawak.

” Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, saya mahu mereka menikmati pula kek lapis hari raya orang Sarawak,”katanya,

Hafeezi berkata, nama ‘warisan’ diambil bersempena dengan keunikan resipi tradisi yang diwarisi sejak turun -temurun bagi mengekalkan resipi asli kek tersebut.

“Kita ada kategori klasik tradisional yang merupakan resepi asli sementara kek lapis moden telah dihasilkan mengikut trend semasa dan permintaan orang ramai,” katanya.

Memulakan operasi sejak 2017, kini Kek Lapis Warisan menawarkan lebih 30 jenis ‘perisa’ yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu All Time Fovourite, Premium dan Super Premium.

Apa yang menarik harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu bermula daripada RM10 hingga RM30 bagi sebiji kek lapis.

M Hafeezi Abdullah, orang kuat di sebalik jenama kek lapis Warisan.

Selain rasa yang lazat, Kek Lapis Warisan juga mengunakan bahan yang berkualiti tinggi bagi mengekalkan ‘rasa premium’ kek lapis yang mereka hasilkan.

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila Hafeezi memberitahu, ramai selebriti datang membeli kek lapis di premisnya antaranya Didie Alias, Raja Ilya, Izzue Islam, Nadia Brian, Wany Hasrita dan ramai lagi.

Rentetan perkembangan kek lapis yang semakin popular, Kek Lapis Warisan kini menghasilkan produk terbaharu iaitu biskut kek lapis.

“Biskut kek lapis terhasil apabila kek lapis dipotong dan kemudian dibakar dalam ketuhar.

“Ia seperti penghasilan biskut dan ini produk baharu syarikat saya,” katanya.

Katanya, kek lapis keluaran syarikatnya juga menerima banyak tempahan pada pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Gawai.

Bagi penggemar kek lapis , peluang mempelajari cara – cara menghasilkan makanan istimewa Sarawak ini sudah pasti tidak wajar dilepaskan.

Terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, premis Hafeezi turut menjual pelbagai produk Sarawak yang lain termasuklah paste Laksa Sarawak, Tebaloi, ikan terubuk masin dan lada hitam.

Mereka turut menyediakan khidmat penghantaran ke Semenanjung Malaysia bagi yang berminat.

Apa lagi, sekiranya anda bertandang ke Kuching, jangan lupa datang ke sini untuk belajar membuat kek lapis ya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan