Kuala Terengganu 10 Jan – Kegiatan seorang doktor di sebuah klinik swasta yang membekal & mengeluarkan sijil vaksinasi dipercayai palsu kepada individu yang tidak mahu di vaksin(anti-vaksin) akhir nya berjaya di bongkar oleh Polis Terengganu pada Sabtu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang media bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Isnin berkata, siasatan awal mendapati klinik swasta itu mendapat kebenaran memberi suntikan vaksin Covid-19 secara berbayar sejak September lalu dan dalam tempoh empat bulan, seramai 1,900 individu telah mendapat sijil vaksinasi Covid-19 daripada doktor berkenaan.
“Bagaimanapun, tidak semua sijil vaksin itu palsu dan kita sedang menyiasat berapa individu yang benar-benar menerima suntikan dan yang tidak disuntik,” katanya pada sidang akhbar tersebut.
Beliau berkata, klinik swasta itu menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin berbayar kepada orang ramai dengan bayaran antara RM400 hingga RM600 namun bagi mereka yang tidak mahu disuntik, sijil vaksin tetap dikeluarkan. Kegiatan pengeluaran vaksin palsu itu dipromosikan dan dijalankan secara dalam talian kepada golongan antivaksin dan beberapa ejen turut diupah dengan bayaran RM50 bagi setiap pelanggan yang membeli sijil berkenaan.
Hasil dari pemeriksaan didapati pelanggan juga datang dari Kedah, Johor dan Kuala Lumpur tambah beliau lagi.
“Setakat ini kita percaya terdapat lebih pada 1,900 individu yang terlibat mendapatkan sijil vaksin palsu ini dan ianya bergantung pada semakan nanti… mungkin setengahnya asli, setengah (lagi) tidak. “Kita akan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menilai ataupun membuat pemeriksaan MySejahtera masing-masing yang akan kita kesan melalui dokumen (yang) kita rampas,” kata Rohaimi.
“Doktor yang sudah mengendalikan klinik selama 20 tahun itu juga mengaku sebagai antivaksin namun sudah menerima suntikan kerana terpaksa berikutan profesion beliau sebagai pegawai perubatan.
Jelas Rohaimi, susulan tangkapan tersebut, beberapa barangan dan dokumen penting seperti telefon bimbit, komputer riba, kad vaksinasi dan borang kebenaran pengambilan suntikan vaksin turut dirampas bagi membolehkan siasatan dilakukan. Selain itu enam individu lain juga turut di tahan dalam operasi tersebut tetapi kemudian nya di bebaskan.
“Doktor itu kini direman selama tiga hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS