MIRI, 10 Jan : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Miri telah menahan sebuah tangki minyak yang mencurigakan di perairan Miri awal pagi semalam.
Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata pasukannya membuat tangkapan ke atas sebuah kapal tangki minyak di 1.7 batu nautika dari muara Sungai Miri.
“Pihak kami telah mengesan sebuah kapal minyak yang mencurigakan di perairan Miri awal pagi semalam tidak jauh dari muara Sungai Miri,” katanya.
Hasil pemeriksaan awal mendapati kapal tersebut membawa minyak melebihi kuantiti yang dibenarkan.
Empat kru kapal termasuk tekong adalah warga Indonesia yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 51 tahun.
“Kami mendapati kapal tersebut juga telah membawa minyak yang melebihi kuantiti yang dibenarkan, dan tidak mempunyai sijil Petroleum Development Act (PDA),” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua kru dan minyak bernilai lebih kurang RM1.5 juta yang dirampas telah dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, serta Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM 1 juta bagi perseorangan atau RM 2 juta bagi perhubugan perbadanan dan dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. – TVS