KUCHING, 10 Jan – Ramai ibu bapa yang lega dengan pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka yang bermula hari ini.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir ibu bapa yang tidak dapat menyembunyikan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.
Menurut Cyslinda Ahmad, meskipun risau dengan keselamatan anak-anak, namun sesi persekolahan harus diteruskan.
“Mula mula agak takut juga hendak hantar tapi memandangkan sesi PDPR sudah terlalu lama maka anak-anak perlu hadir bersemuka untuk belajar. Lagipun mereka sudah di vaksin juga. Jadi rasa nya dah boleh hantar mereka ke sekolah” katanya.
Dayang Azlina pula berkata, perasaannya bercampur baur setelah menghantar anaknya ke sekolah.
“Perasaan mestilah bercampur baur, gembira tapi dalam masa yang sama risau sebab anak-anak sudah lama tidak ke sekolah. Tambah juga risau tentang keselamatan mereka. Tetapi setakat ini alhamdulillah saya berasa gembira kerana anak-anak dah boleh mula belajar secara bersemuka,” kata Dayang Azlina.
Sementara itu, menurut pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah St Joseph, Kuching, Marlene Ram, persediaan dari segi kekuatan mental merupakan cabaran yang harus dihadapinya sebelum menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak lama lagi.
“Mencabar jugaklah sebab tingkatan 6 dan semester akhir rasa tekanan itu kuat jadi kena mempunyai mental yang kuat kerana ianya memang mencabar.
Jadi hari ini kami ada peperiksaan walaupun hari pertama persekolahan. Ianya sangat memenatkan” katanya.
Manakala Danish Lutfi, pula berkata dia gementar kerana hanya berbaki 50 hari sebelum menduduki peperiksaan SPM.
“Perasaan ketika saya kembali ke sekolah agak gementar kerana SPM hanya berbaki 50 hari sahaja lagi. Jadi dengan berbaki 50 hari, saya perlu bersedia dengan subjek yang penting agar saya dapat belajar dan push diri saya untuk mengulang kaji dan mendapat keputusan yang cemerlang”
Sementara itu bagi guru, penjagaan SOP amat diberikan penekanan bagi mengekang penularan COVID-19 di sekolah.
“Pertama sekali bila murid datang ke sekolah kita akan memeriksa suhu badan mereka dan mengimbas MySejahtera dan juga imbasan kehadiran menggunakan face recognition scanner.
Kemudian di dalam bilik darjah mereka tidak dibenarkan berpindah dari satu tempat duduk ke satu tempat duduk yang lain dan hanya kekal di satu tempat.” ujar Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Swasta Sunny Hill, Sim Nueng.
Tambahnya, para guru akan mengawasi pelajar supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – TVS