Kredit gambar kepada Kompas.com
KUCHING, 10 Jan : Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi menggesa penternak babi untuk mempertingkatkan biosekuriti ladang termasuk menghalang sebarang lawatan daripada orang luar.
Ia susulan demam Babi Afrika (ASF) telah dikesan di tiga ladang belakang rumah di Durin, Sibu.
“Buat masa ini, tiada sebarang rawatan atau vaksin yang disediakan untuk merawat atau mengawal virus ASF malah mana-mana ladang yang dijangkiti ASF akan ditutup dan dikuarantin. Semua babi akan dimusnahkan di ladang bagi mengurangkan populasi dan bangkai akan dilupuskan,” katanya.
Kes telah disahkan hari ini oleh Makmal Diagnosa Veterinar Negeri menggunakan ujian Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) telah mengerahkan anggotanya di lapangan untuk menentukan tahap wabak sebelum mengambil sebarang tindakan bagi membendung penyakit itu dan daripada terus merebak ke ladang babi yang lain.
Pengawasan klinikal dan serologi sedang dijalankan dan spesimen diambil untuk diagnosis oleh makmal.
“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak memberi sisa makanan dari restoran atau dapur kepada babi kerana virus ASF boleh bertahan dalam produk tercemar yang menyebabkan jangkitan ASF pada babi,” ujarnya lagi.
Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) berhampiran atau Whatsapp ke talian di 016-284 0918. – TVS