Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Penggiat industri Sabah gesa kerajaan negeri bantu selesaikan isu kekurangan pekerja asing

KOTA KINABALU, 9 Jan : Penggiat industri di Sabah merayu kepada kerajaan negeri supaya membantu menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing yang dihadapi oleh industri dan mencadangkan beberapa langkah untuk menanganinya dengan segera.

Setiausaha Agung Persatuan Majikan-Majikan Sabah (SEA) Fong Ming San menggesa kerajaan negeri untuk membuka sempadan dan membenarkan industri mengambil pekerja dari Filipina dan Indonesia, melaksanakan satu lagi pusingan program pengampunan/penyusunan semula untuk anggaran 1.2 juta pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

“Selain itu, membenarkan permohonan kuota dilaksanakan dengan segera, membenarkan pembaharuan automatik kuota tidak digunakan yang diluluskan sebelum pandemik dan pemprosesan permohonan kuota yang lebih cepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fong berkata industri Sabah yang bergantung kepada buruh asing turut meminta permit kerja diberikan kepada pemegang IMM13 dan kad pengenalan merah atau hijau oleh pendatang Filipina dan Indonesia yang kini berada di negeri ini.

Beliau turut menggesa Program Penentukuran Semula 2019 diteruskan yang terhenti akibat pandemik dan membenarkan 80,000 kes yang layak “tertunda” disediakan untuk pekerjaan yang sah dan memastikan pemprosesan permohonan kuota pekerja asing yang lebih cepat.

“Membenarkan permohonan kuota pekerja asing dilaksanakan dengan segera, termasuk pembaharuan automatik kuota tidak digunakan yang diluluskan sebelum pandemik dan mengeluarkan garis panduan terkini untuk permohonan penggajian pekerja asing,” katanya.

Langkah lain yang dicadangkan ialah mengurangkan levi pekerja asing sebanyak RM6,000 (sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan) bagi mereka yang telah bekerja selama 11 tahun dan ke atas dan memperbaharui pas kerja pekerja yang mempunyai dokumen yang baik yang tidak dapat memperbaharuinya berikutan langkah kawalan pergerakan COVID-19.

Fong berkata enam persatuan perdagangan iaitu SEA, Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA), Persatuan Kayu-Kayan Sabah, Persatuan Perabot Sabah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah dan Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur telah mengemukakan memorandum mengenai pekerja asing kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor melalui Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam baru-baru ini.

Fong berkata industri Sabah telah terjejas oleh kekurangan pekerja asing sejak beberapa tahun lepas, dengan situasi menjadi teruk sejak Mac tahun lepas selepas negara menutup sempadannya berikutan langkah mengawal pandemik COVID-19.

“Pekerja asing dengan permit yang telah tamat tempoh telah pulang ke negara asal mereka dan tidak dapat kembali ke Malaysia selain pada masa sama, kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing baharu,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan