SIBU, 9 Jan : Seorang pelajar tingkatan empat merupakan antara dua ‘mat rempit’ yang dicekup oleh polis kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua remaja lelaki itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan polis bermula pukul 10 malam tadi selama lima jam.
Katanya, suspek pertama berusia 20 tahun yang bekerja di sebuah pusat mencuci kereta, didapati melakukan aksi menunggang motosikal secara ‘zig-zag’Â yang sangat berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Sementara itu, pelajar berusia 16 tahun itu pula ditahan kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan motosikal di lokasi yang sama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Difahamkan, jalan itu merupakan antara tiga lokasi ‘panas’ dan sering menjadi pilihan di kalangan ‘mat motor’ di bandar ini untuk memperagakan aksi berbahaya terutamanya pada malam minggu.
Menurut Alexson Naga, kedua-dua suspek ditahan di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -TVS