Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Faidalul Zakiah, spiderwoman Sarawak tidak gentar panjat bangunan

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 8 Jan: Memiliki rupa paras yang jelita dan mempunyai pilihan untuk bekerja dalam pejabat berpendingin hawa, namun itu tidak menarik minat wanita ini.

Sebaliknya, Faidalul Zakiah ,30, atau lebih mesra disapa sebagai Bob berkata, bidang pekerjaan yang lasak sentiasa menarik minatnya.

Katanya, dia sedar pekerjaan sebagai juruteknik akses tali untuk menyelenggara bangunan dianggap sebagai pekerjaan kelapan paling berbahaya di dunia, namun itulah yang memberi kepuasan kepadanya.

” Saya sudah bekerja sebagai juruteknik penyelenggara bangunan ini selama dua tahun dan sebenarnya sejak kecil lagi, saya sangat berminat dengan aktiviti lasak,” katanya kepada TVS.

Bob menunjukkan kemahirannya memanjat bangunan tinggi.

Terdahulu, Bob menunjukkan kepakarannya melakukan demonstrasi memanjat menara telekomunikasi di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEX), Santubong sempena program kesedaran bekerja di tempat tinggi di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Bob berkata, untuk ‘memasuki’ dunia pekerjaan berkenaan juga sebenarnya tidak mudah kerana perlu melepasi beberapa syarat ketika proses temu duga.

” Namun disebabakan minat, ia tidak menghalang saya memberikan yang terbaik ketika proses temu duga biarpun terpaksa bersaing dalam bidang yang dimonopoli kaum lelaki atau pekerja asing,”katanya.

Katanya, ketika proses temu duga berlangsung, dia dikehendaki memanjat menara ‘monopole’ dan sekiranya lulus, akan masuk ke peringkat seterusnya.

“Jadi, saya mengambil peluang itu untuk membuktikan bahawa saya mampu dan boleh melakukannya,” katanya.

Bercerita tentang pengalaman sewaktu bertugas, Bob berkata, memandangkan ‘budaya’ kerja berkenaan sangat berisiko, dia juga tidak terkecuali berdepan detik mencemaskan.

“ Ketika saya sedang menuruni bangunan setinggi 25 tingkat dan berada di tingkat tiga, angin sangat kuat sehingga menyebabkan badan saya melayang ke belakang, namun saya bersikap tenang dan mengimbangi badan supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat penting ketika bertugas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ditanya pembakar semangat utamanya, Bob yang juga seorang ibu tunggal berkata, anaknya yang berusia empat tahun merupakan sumber kekuatannya untuk terus bertugas sebagai juruteknik penyelenggara bangunan.

Menutup perbualan, Bob berharap agar lebih ramai wanita akan menceburi bidang kerja ini pada masa akan datang sekaligus membuktikan bahawa wanita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan