Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Waspada penularan COVID-19 semasa Tahun Baharu Cina – Tiong

BINTULU, 7 Jan : Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing menyeru masyarakat agar mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut awal Februari depan.

Ini selepas Bintulu merekodkan kes positif COVID-19 baharu melibatkan 15 orang daripada 16 keluarga sejurus pulang dari luar negara baru-baru ini.

Sebelum ini Bintulu diklasifikasikan sebagai zon hijau iaitu tiada kes positif COVID-19 sejak beberapa bulan lepas. 

“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun Sarawak telah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan diberi pelbagai kelonggaran aktiviti, namun masyarakat tidak boleh mengambil sikap sambil lewa kerana keadaan di Bintulu masih membimbangkan.

“Hanya dalam sekelip mata sahaja kes boleh meningkat kepada hampir dua digit. Ini jelas menunjukkan kita masih belum menang dan mesti terus berwaspada serta tidak lalai dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan,” kata Tiong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa varian baharu dilaporkan seperti Omicron, Delta serta Delmicron, dan yang terbaharu, Florona pula telah dikesan di Israel dan ini sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai. 

“Kita tidak boleh mengambil ringan SOP yang dilaksanakan kerajaan, kita harus mengelakkan diri daripada menjadi penyebab untuk virus-virus ini terus merebak dan membahayakan nyawa diri sendiri dan juga orang di sekeliling kita,” katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa persatuan tempatan telah mula menganjurkan beberapa siri aktiviti sempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina. 

“Sekiranya aktiviti terbabit tidak dapat ditangguhkan, penganjur atau penyelaras harus memastikan SOP ketat dipatuhi seperti mengawal jumlah kehadiran dan memastikan penjarakan fizikal dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan