SIBU, 7 Jan : Tiga blok rumah pekerja di Tanjung Ensurai, Jalan Empawah di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pada lewat petang semalam.
Akibat kejadian itu, seramai 18 orang penghuni yang merupakan pekerja kilang kayu api hilang tempat berteduh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Abdul Mutalif Ja’afar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 6.09 petang.
Katanya, pasukan bomba dan penyelamat balai berkenaan bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 27 kilometer (km) untuk memadamkan kebakaran yang berlaku.
Katanya, ketika sampai, bomba mendapati api sedang marak memusnahkan tiga blok kediaman berkenaan.
” Dalam usaha mengawal kebakaran, pihak bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk membuat kawalan kebakaran di blok ketiga bagi mengelakkan api merebak ke blok keempat,” katanya ketika dihubungi TVS.
Beliau memberitahu, kebakaran dapat dikawal pada pukul 7.16 malam dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.
” Blok pertama mengalami kemusnahan dengan anggaran 80 peratus manakala dua blok terbakar sepenuhnya,” katanya.
Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. -TVS