BAU, 7 Jan : Kejadian ribut yang melanda Kampung Opar , dekat sini baru-baru menyebabkan mangsa berasa trauma dan bimbang sekiranya ia berulang.
Menurut ketua kampungnya, Dewen Giam, ribut yang berlaku pada Selasa lepas telah menjejaskan 10 buah rumah dengan enam daripadanya rosak teruk.
“Ribut sebenarnya jarang berlaku di sini. Oleh itu, selepas kejadian tersebut , sekiranya awan mendung, penduduk kampung ini mula risau dan trauma,” katanya kepada TVS.
Bagi mangsa pula, kejadian seumpama itu telah membuka mata mereka untuk lebih berwaspada terhadap cuaca tidak menentu ketika ini.
Menurut Nojiw Ngenan, dia sendiri tidak menyangka kampungnya dilanda ribut.
“Semasa kejadian , saya tiga beranak berada dirumah, ribut datang sekelip mata dan angin sangat kuat,” katanya.
Sementara itu , Muhammad Adyren Abdullah berkata, ketika kejadian, dia hanya memikirkan keselamatan ahli keluarga sahaja berbanding perkara lain.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar , Billy Sujang yang melawat mangsa semalam berkata, kesemua rumah yang rosak akibat dipukul angin kencang itu akan dibaiki menerusi projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Katanya ketika ini, proses menilai kerugian sedang dilakukan.
Jumlah mangsa keseluruhan yang terjejas ialah seramai 28 orang dan kesemua mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Opar. -TVS