TAWAU, 6 Jan : Cubaan tujuh orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk bekerja di negeri ini gagal apabila ditahan oleh pasukan tindakan pantas Angkatan Tentera Bersama (ATB) malam tadi.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan ketika pasukan berkenaan sedang melakukan rondaan Op Benteng Bersama pada pukul 10.15 malam tadi setelah menerima aduan daripada penduduk Kampung Kurnia Jaya.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kumpulan PATI berkenaan menyusup masuk menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).
” Anggota keselamatan kemudian mengekori kenderaan itu sehingga ke Terminal Bas Tawau.
Pemandunya bertindak menurunkan kesemua PATI yang dibawanya dan terus memecut MPV itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Abdul Karim memberitahu, kesemua PATI yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia dalam lingkungan umur 22 hingga 80 tahun.
“Hasil soal siasat mendapati, kesemua yang ditahan telah menaiki bot yang diatur oleh agen di Pulau Sebatik dan akan diambil oleh ejen di Tawau untuk dihantar ke terminal bas berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua tahanan itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk saringan COVID-19 dan tindakan lanjut. -TVS