KUALA TERENGGANU, 6 Jan: Kerajaan berharap Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji oleh jemaah luar negara tahun ini, walaupun dunia berhadapan dengan ancaman varian baharu COVID-19, Omicron.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Arab Saudi selewat-lewatnya Februari ini bagi membincangkan hal-hal berkaitan termasuk pengekalan kuota seramai 30,000 jemaah setiap tahun.
“Setakat pertemuan awal dengan kerajaan Arab Saudi Disember lepas, ibadah haji untuk tahun ini masih dibenarkan dan mereka pun tidak berhasrat untuk tutup.
“Kita harap soal COVID-19 tidak menjadi penyebab Arab Saudi sekat atau tutup kemasukan jemaah. Setakat ini, Arab Saudi hanya laksanakan semula penjarakan antara saf bagi mengawal jangkitan,” katanya pada Konvensyen Pendidikan Islam Terengganu 2021 di Taman Tamadun Islam yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.
Bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik COVID-19 yang belum reda.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata orang ramai digalakkan membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan jabatan agama negeri sekiranya terdapat aktiviti khurafat dan berunsur sesat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Ia susulan kemunculan individu dikenali sebagai ‘raja bomoh’ dan Puteri Zaleha yang mengadakan ritual menolak banjir di Dataran JPS di Teluk Intan, Perak yang tular dalam laman sosial baru-baru ini. – TVS