Gambar, kredit Pejabat Ketua Menteri
KUCHING, 6 Jan : Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak sebagai sebuah kemenangan berpasukan.
Ujar Abang Johari yang juga Pengerusi GPS, kemenangan itu merupakan sumbangan semua peringkat iaitu meliputi barisan pemimpin sehingga ke petugas-petugas parti.
“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat meskipun terpaksa berdepan kebimbangan penularan COVID-19 serta ketidaktentuan cuaca.
“Pada masa sama, kita juga tertakluk kepada pengisytiharaan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi GPS bersama petugas – petugas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak di Borneo Convention Centre di sini malam semalam.
Yang turut hadir isteri Ketua Menteri, Puan Sri Datin Amar Juma’aini Tun Tuanku Bujang dan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan pemimpin – pemimpin parti komponen di bawah GPS.
Mengimbas kembali detik Proklamasi Darurat, Abang Johari berkata, sekiranya Seri Paduka tidak memperkenankan penamatan proklamasi berkenaan, rakyat Sarawak mungkin terpaksa ‘terlibat’ dengan PRN Ke-12 pada bulan depan.
” Mungkin PRN pada Mac dan kita tidak tahu sejauh mana ancaman varian Omricon selain musim Monsun (Timur Laut) yang telah bermula,” katanya.
Abang Johari berkata, beliau bersyukur kerana atas persetujuan berkenaan, PRN dapat dilaksanakan walaupun terpaksa akur kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.
“Saya ucap tahniah kepada anda semua di atas kejayaan ini,”katanya.
Pada PRN Ke-12 Sarawak yang berlangsung 18 Disember tahun lepas, GPS mencapai keputusan cemerlang apabila menang 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Pencapaian itu sekaligus mengatasi rekod 72 kerusi yang diraih pada PRN Ke-11 ketika empat parti tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sabah (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang kini membentuk GPS berada di bawah Barisan Nasional (BN). – TVS