Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Cukai pendapatan sumber asing dikecualikan bagi pendapatan dividen dan individu bermula 1 Januari 2022

ByFreddy Bohari

KUCHING: Pengecualian cukai pendapatan sumber asing (FSI) bagi pendapatan dividen dan pendapatan individu, seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) pada 30 Disember 2021, merupakan satu langkah yang dialu-alukan kerana pengecualian cukai ke atas FSI akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan menarik sebagai hab serantau.

Menurut Ketua Percukaian Malaysia di Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd, Farah Rosley, ia boleh menggalakkan lebih banyak kumpulan untuk menubuhkan ibu pejabat dan syarikat pegangan pelaburan di negara ini.

“Selain itu, pengecualian cukai bagi individu pemastautin akan membolehkan pembayar cukai individu untuk menghantar balik pendapatan mereka ke Malaysia tanpa dikenakan cukai.

“Pengecualian cukai ini akan menggalakkan pembayar cukai untuk terus menghantar balik dana ke Malaysia,” kata Farah dalam komentari beliau mengenai perkara tersebut yang dikeluarkan oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd baru-baru ini.

Selama bertahun-tahun sebelum ini, FSI tidak dikenakan cukai pendapatan Malaysia walaupun ia dihantar balik ke dalam negara, kecuali bagi FSI yang diperoleh syarikat pemastautin Malaysia yang menjalankan perniagaan perbankan, insurans, dan pengangkutan laut atau udara.

Pengecualian menyeluruh ini dimansuhkan bagi semua pembayar cukai pemastautin Malaysia bermula 1 Januari 2022, di bawah Akta Kewangan 2021.

Bagaimanapun, selepas proses rundingan yang meluas, MoF mengumumkan bahawa dua jenis FSI yang diterima oleh pembayar cukai pemastautin akan terus dikecualikan daripada cukai, iaitu pendapatan dividen sumber asing yang diperoleh syarikat dan perniagaan perkongsian liabiliti terhad, dan semua FSI individu (kecuali individu yang menjalankan perniagaan di Malaysia menerusi perniagaan perkongsian).

Pengecualian cukai ini berkuatkuasa selama lima tahun bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

MoF juga menyatakan FSI yang diterima pada tahun taksiran 2022 akan dikecualikan daripada perkiraan cukai bagi tujuan cukai makmur yang dibayar sekali sebanyak 33% ke atas pendapatan bercukai melebihi RM100 juta.

Menurut Farah, pengumuman ini menunjukkan kepekaan kerajaan kepada maklum balas industri selain komitmennya kepada sistem percukaian yang saksama dan kompetitif.

“Ini adalah selari dengan amalan terbaik percukaian antarabangsa selain menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, yang seterusnya akan menyumbang kepada kutipan hasil cukai negara,” katanya.

Untuk makluman, cukai makmur atau ‘prosperity tax’ telah diumumkan dalam Belanjawan 2022 Malaysia.

Ia merupakan satu cukai khas yang dikenakan ke atas mana-mana syarikat di Malaysia yang berjaya menjana pendapatan luar biasa selama pandemik COVID-19 berlaku.

Duit yang diperoleh kerajaan ini diharapkan dapat dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan semula negara selepas teruk terjejas akibat pandemik tersebut.

Selepas Kerajaan Malaysia menjalankan banyak kajian dan sesi perbincangan, bagi pendapatan RM100 juta yang pertama, syarikat-syarikat berkenaan akan dikenakan cukai makmur sebanyak 24 peratus, manakala baki pendapatan selebihnya akan dikenakan cukai tambahan sebanyak 33 peratus. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan