SIBU, 5 Jan : Daerah ini memerlukan pelan induk jangka panjang yang lebih strategik untuk mengatasi masalah banjir yang kerap berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini kerana penyelesaian seperti menambah baik sistem perparitan dan penyelenggaran longkang hanya merupakan langkah sementara sahaja.
Ujar beliau, pelan induk yang dimaksudkan meliputi kerja – kerja mengorek dasar Sungai Rajang dan Sungai Igan yang harus dilakukan segera.
” Beberapa kawasan seperti Dudong, Stabau, Sentosa dan Jalan Salim sering dilanda banjir kilat yang menjejaskan urusan harian penduduk dan mereka juga terpaksa menanggung kerugian.
” Oleh itu, sudah sampai masanya kita atasi masalah ini secara menyeluruh dan bukan bersifat sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu serta Lembaga Sungai – Sungai Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, King Sing berharap agar agensi – agensi terlibat dapat bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah banjir kilat.
” Strategi tindak balas jangka panjang dan rancangan untuk menangani keperluan 15 hingga 20 tahun ke depan sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah banjir di Sibu,” ujarnya.
Katanya, pelan induk yang berkesan juga akan dapat menangani pembangunan pesat dan pertumbuhan penduduk di bandar Sibu. -TVS