Oleh Ammierul Mukminin
KOTA KINABALU, 5 Jan : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan satu kes import pertama varian Omicron di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes berkenaan dikesan semalam menerusi ujian penjujukan genom yang dilakukan terhadap seorang lelaki warganegara yang kembali dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah baru- baru ini.
” Lelaki berkenaan bersama isterinya berada di Tanah Suci bermula pada 9 Disember sehingga 18 Disember 2021.
“ Mereka tiba di Tawau pada 20 Disember 2021 dan telah menjalani kuarantin kendiri di rumah mengikut garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Masidi berkata, keputusan ujian yang dilakukan mendapati varian berkenaan dikesan dalam sampel pesakit itu ketika dia masih menjalani kuarantin pada 24 Disember lepas.
Mengulas lanjut, Masidi berkata, kedua -dua pesakit berkenaan telah menerima vaksin pada Jun tahun lepas dan keadaan mereka ketika ini dilaporkan stabil.
Pada masa sama, Masidi juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana varian berkenaan sudah mula menular dalam komuniti di negeri ini. -TVS