Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

NADMA arah PKOB Sabah, Sarawak bersedia hadapi banjir

KUALA LUMPUR, 5 Jan : Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat negeri dan daerah di Sarawak dan Sabah diarahkan bersiap-siaga termasuk mengaktifkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan arahan itu berikutan ramalan luruan monsun yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan berpotensi membawa hujan lebat berterusan.

Menurut agensi itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu memastikan ketersediaan stok bekalan pangkalan hadapan di Sabah dan Sarawak bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

“Sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan juga, PKOB Sarawak perlu menyelaras penyampaian makluman kepada penduduk di kawasan yang berisiko berlaku banjir agar mereka siap-siaga jika berlakunya bencana,” demikian menurut NADMA menerusi kenyataannya pada hari ini.

Terdahulu, ramalan cuaca signifikan bagi tempoh antara 6 hingga 12 Januari yang dikeluarkan MetMalaysia hari ini menyatakan kawasan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak mulai Ahad ini (9 Januari).

Jabatan itu menjelaskan keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan, seterusnya mengakibatkan banjir terutamanya di bahagian tengah dan barat Sarawak, dan pada masa sama ribut petir masih boleh berlaku di seluruh negara pada waktu pagi dan petang hingga malam.

Setakat tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun, manakala di Terengganu banjir pulih sepenuhnya dengan penutupan kesemua PPS di negeri itu.

Dalam pada itu, hingga kini operasi banjir di seluruh negara melibatkan seramai 17,901 anggota agensi responder dan menggunakan 2,917 gabungan aset daripada pelbagai agensi.

Menurut NADMA, berdasarkan laporan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat jam 10.00 pagi tadi, sebanyak 50 lokasi jalan di negeri yang masih terjejas akibat bencana, dan sedang menjalani proses pembersihan.

“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pula melaporkan terdapat lima lagi kejadian tanah runtuh, iaitu tiga di Sabah, sementara Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing satu, yang menjadikan jumlah kumulatif kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut kini sebanyak 250 kes,” katanya.

Bagi status operasi pembersihan pascabanjir oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) hingga semalam, 90 peratus kawasan di Selangor yang terjejas banjir sudah dibersihkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan