Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
KUCHING, 4 Jan -- Majlis angkat sumpah barisan Kabinet baharu Sarawak mencipta sejarah apabila buat pertama kali diadakan secara maya di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Bangunan Dewan Undangan ((DUN) Negeri Sarawak, hari ini. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mereka bawa harapan tinggi rakyat Sarawak – Dr Jeniri

ByIsma Haziq

KUCHING, 5 Jan : Wakil – wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilantik menganggotai Ahli – Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Menteri – Menteri Muda Sarawak mempunyai tanggungjawab besar kepada lebih 2.9 juta rakyat negeri ini.

Felo Kanan, Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, ini kerana persekitaran dan pemikiran rakyat Sarawak ketika ini bukan lagi seperti tahun 1950-an, 60-an atau awal 1990-an sebaliknya lebih kritis.

Ujar beliau, keadaan persekitaran hari ini semakin mencabar dan rakyat juga terdedah dengan pelbagai idea baharu sekaligus mereka turut menuntut perkara sama dalam pentadbiran negeri.

” Mereka (rakyat) mempunyai harapan yang besar untuk melihat pucuk pimpinan memacu Sarawak ke era baharu seperti visi mencapai negeri maju di Malaysia menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Majlis Angkat Ahli – Ahli Majlis Kerajaan Negeri Sarawak dan Menteri – Menteri Muda yang disiarkan secara langsung di TVS malam tadi.

Majlis berkenaan turut melakar sejarah apabila berlangsung secara maya menyaksikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima pelantikan mereka di Astana Negeri manakala istiadat fizikal berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Yang turut hadir menyaksikan istiadat secara hibrid itu ialah Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datin Amar Juma’aini Tun Tuanku Bujang.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan oleh tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Ia kemudian diikuti Dato Sri Fatimah Abdullah (Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – kanak dan Kesejahteraan Masyarakat), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, (Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan), Dato Sri Lee Kim Shin (Menteri Pengangkutan), Datuk John Sikie Tayai (Menteri di Jabatan Ketua Menteri), Datuk Julaihi Narawi (Menteri Utiliti dan Telekomunikasi) dan Datuk Roland Sagah Wee Inn sebagai Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.

Majlis diteruskan dengan angkat sumpah Menteri-Menteri Muda yang terdiri daripada Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Dr Jerip Susil, Datuk Liwan Lagang, Datuk Rosey Yunus, Datuk Len Talif Saleh, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Dr Annuar Rapaee, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Datuk Dr Penguang Manggil, Datuk Snowdan Lawan, Datuk Abdullah Saidol dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

Mengulas lanjut mengenai tanggungjawab berat itu, Jeniri berkata, prestasi kesemua wakil rakyat yang dilantik itu bukan akan dinilai dalam tempoh 100 hari pertama sahaja.

” Ini kerana ‘penghakiman besar’ akan dilakukan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13 Sarawak,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu lobi-melobi yang hampir tidak kedengaran sebelum pengumuman barisan kabinet oleh Abang Johari, Jeniri berkata, pada kebiasaannya perkara itu berlaku namun ia mungkin tidak begitu ketara di Sarawak.

” Sebenarnya ia menjadi amalan biasa untuk Ketua Menteri mendapat input daripada setiap Presiden parti politik di bawah GPS. Mereka akan mencadangkan siapa yang perlu tampil (dalam senarai kabinet) walaupun perlantikan adalah hak mutlak Ketua Menteri,” katanya.

Dalam soal perlantikan juga, Jeniri berkata, Ketua Menteri akan melihat pelbagai kriteria termasuk kelayakan, kemahiran dan latar belakang pendidikan untuk membentuk satu barisan mantap yang dapat memacu pentadbiran dan hala tuju Sarawak.

” Ini sekaligus menterjemahkan prinsip perkongsian kuasa dengan tegas supaya tidak timbul krisis di kalangan parti gabungan. Yang paling penting, dalam kabinet, prinsipnya mereka harus timbul dan tenggelam bersama,” katanya.

Pada PRN Ke-12 Sarawak 18 Disember lalu, GPS mencapai prestasi cemerlang apabila menang 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 47 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) , 11 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 13 kerusi dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menyumbang lima kerusi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan