JAKARTA, 5 Jan : Dalam sebuah panggilan telefon Presiden Indonesia Joko Widodo dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, Joko Widodo telah menyatakan bahawa beliau bakal  melanjutkan sokongannya terhadap Kemboja sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk 2022, pada hari Rabu.
Menurut laman media sosial Twitter Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai Jokowi berkata bahawa mereka turut membincangkan tentang perkembangan di Myanmar dalam perbualan tersebut.
“Saya dengan jelas mengulangi pendirian Indonesia mengenai kepentingan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengembalikan demokrasi di Myanmar melalui dialog inklusif.
“Sekiranya tiada kemajuan ketara dalam melaksanakan 5PC, Myanmar hanya perlu diwakili di peringkat bukan politik pada mesyuarat ASEAN,” kata Jokowi.
Myanmar telah mengalami pergolakan sejak 1 Feb tahun lalu apabila ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing telah menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh juara demokrasi Aung San Suu Kyi dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam rusuhan berikut
Kemajuan yang tidak mencukupi dalam pelaksanaan 5PC oleh junta untuk mencari perdamaian dan memulihkan keamanan di Myanmar, menyebabkan mereka diketepikan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan pada akhir Oktober.
5PC tersebut ialah; menamatkan keganasan, mengadakan perbincangan yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan, ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, utusan khas ASEAN yang dilantik untuk menjalankan perbincangan, dan utusan dibenarkan melawat negara itu. -TVS