PENAMPANG, 4 Jan : Seorang lelaki maut akibat ditikam dengan objek tajam dalam kejadian di luar sebuah pusat hiburan di bandar ini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, mangsa yang merupakan lelaki rakyat tempatan berusia 29 tahun itu ditemui terbaring dengan kesan kecederaan parah.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis hiburan berkenaan, kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi.
” Mangsa meninggal dunia pada pukul 8.38 pagi tadi ketika sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Haris memberitahu, berdasarkan semakan CCTV juga, polis berjaya mengenal pasti suspek yang dikenali sebagai Kaw Yung Chee, 34, yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
” Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Ujarnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan. -TVS