KOTA BHARU, 4 Jan : Seorang bapa pada hari ini dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana mendera anak perempuannya yang berusia lapan tahun dengan memukulnya menggunakan sebatang kabel sehingga lebam di seluruh badan.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki berumur 44 itu selepas dia mengaku melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh pada 1 pagi 28 Disember lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin.
Dalam rayuannya, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman dikurangkan memandangkan dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya itu.
Hakim memerintahkan hukuman pemenjaraan dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 29 Disember lepas.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh, yang juga seorang penganggur, memukul anak bongsunya pada hari kejadian setelah telefon bimbit milik tertuduh mengalami masalah teknikal.
Mangsa bersama adik-beradiknya kemudian melarikan diri dari rumah ketika tertuduh sedang tidur untuk mendapatkan bantuan daripada kakak mereka yang belajar di sebuah kolej di sini.
Kakak mangsa yang melihat kecederaan dialami adiknya itu tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada 5.20 petang 29 Disember lepas di rumahnya. – TVS