KUCHING, 3 Jan : Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara tujuh yang ditahan polis dalam operasi pencegahan jenayah di sekitar pusat bandar ini pada malam sambutan ambang tahun baharu , kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, remaja berkenaan bersama enam individu lain ditahan atas kesalahan dadah di sekitar Satok, Sentral dan Padungan.
” Polis turut merampas satu paket lutsinar berisi serbuk dan ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.27 gram dengan anggaran nilai sebanyak RM527,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Sementara itu, beliau memberitahu, dalam operasi di Jalan Simpang Tiga, empat lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
” Selain itu, sebanyak 212 saman kesalahan trafik atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan oleh pihak polis,” katanya.
Operasi yang melibatkan 10 pegawai dan 85 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu juga telah mengeluarkan 15 kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) , Pelan Pemulihan Negara dengan nilai keseluruhan sebanyak RM15,000.
” Sepanjang operasi dijalankan, seramai 2,424 individu, 1,484 buah kenderaan dan 14 buah bistro telah diperiksa,” katanya. -TVS