MUKAH, 3 Jan : Seorang penjual minuman di bandar ini ditahan polis atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan, Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di belakang kedai snooker berhampiran pasar lama, kira -kira pukul 5.15 petang, Ahad lepas.
Katanya, hasil saringan awal ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif dadah namun siasatan tetap dijalankan di bawah Seksyen 12(2) , Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil pemeriksaan badan terhadap suspek, polis menjumpai satu kotak rokok warna putih yang berada dalam genggaman tangan kanannya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak rokok itu mengandungi tiga keratan straw kecil lutsinar warna hijau berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.83 gram,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Menurut Muhamad Rizal, suspek mengakui mula terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak pertengahan Disember lepas sehingga sekarang. -TVS