KUALA LUMPUR, 1 Jan : Thailand sekali lagi mengesahkan kedudukan mereka sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara, walaupun seri 2-2 dengan Indonesia pada perlawanan final kedua bagi merangkul Piala AFF buat kali keenam, di Singapura, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan Gajah Perang yang menewaskan Garuda 4-0 pada perlawanan final pertama pada Rabu (29 Dis), menang dengan agregat 6-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura.
Indonesia yang bermain lebih agresif berbanding perlawanan pertama, mendapat gol pertama seawal minit ketujuh menerusi rembatan pemain tengah Ricky Kambuaya dari luar petak penalti, membolehkan pasukan didikan jurulatih Shin Tae-yong dari Korea itu mendahului 1-0.
Thailand hampir menyamakan kedudukan pada minit pertama masa tambahan separuh masa pertama, namun cubaan kaki kanan Teerasil Dangda dari tengah-tengah petak penalti, hanya melepasi palang gol dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaik permulaan separuh masa kedua, anak buah jurulatih kelahiran Brazil-Jerman Alexandre Polking, meningkatkan momentum permainan mereka dan menyaksikan Thailand memperoleh dua gol menerusi pemain serangan Adisak Kraisorn dan pemain tengah Sarach Yooyen.
Adisak yang masuk menggantikan Teerasil, menyamakan kedudukan pada minit ke-54 sebelum jaringan Sarach dari luar kotak penalti dua minit kemudian, menjadikan kedudukan 2-1.
Namun Egy Maulana Vikri yang bermain untuk Kelab Slovakia FK Senica, berjaya memberikan satu lagi gol buat Indonesia pada minit ke-80, bagaimanapun ia tidak mencukupi dan agak terlewat untuk mereka untuk mengaturkan gerakan seterusnya, sebelum pengadil Ahmed Faisal Mohammad Al Ali meniupkan wisel penamat bagi memastikan piala itu kembali ke Thailand.
Thailand merupakan juara kejohanan dwitahunan itu pada 1996, sebelum merangkulnya semula pada edisi 2000, 2002, 2014 dan 2016, manakala Indonesia masih gagal memecahkan kebuntuan selepas hanya menjadi naib juara lima kali iaitu pada 2000, 2002, 2004, 2010 dan 2016. – TVS