KUCHING, 2 Jan : Sarawak beralih ke Fasa 4 , Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa pada 3 Januari 2022 ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan , prosedur operasi standard (SOP) di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak akan dikemas kini dan dimuat naik pada 4 Januari 2022.
Sementara itu, perkembangan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini terus menunjukkan trend menurun pada hari ini.
Berdasarkan data JPBN Sarawak, hanya sebanyak 13 kes direkodkan dengan tujuh melibatkan kategori 1 manakala enam kes bagi kategori 2, 3 dan 5.
Jumlah itu menjadikan kes jangkitan keseluruhan sejak negeri ini dilanda pandemik meningkat kepada 252 341.
Pada hari ini juga menyaksikan tiada kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19 dilaporkan sekaligus jumlah kematian kekal sebanyak 1,616 orang.
Sementara itu, JPBN Sarawak turut menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun Sarawak berada dalam Fasa 4 PPN. – TVS