GEDONG, 2 Jan : Kerajaan Sarawak akan mewujudkan Makmal Kajian Pembangunan Daerah Gedong (MKPDG) selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, makmal berkenaan akan turut disertai pihak berkaitan bagi mengenal pasti bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
” Rancangan pembangunan Gedong akan dimasukkan ke dalam senarai pelan induk pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir program ramah mesra bersama penduduk kawasan itu di Anjung Usahawan Gedong di sini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga ADUN Gedong berkata, kerja – kerja pembangunan pula dijangka akan dilaksanakan selepas keputusan dicapai menerusi makmal berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, Abang Johari menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dengan majoriti 3,607 undi. – TVS