TAWAU, 2 Jan : Kegembiraan sembilan individu termasuk enam beradik berekreasi di Pantai Batu Payung semalam berakhir dengan tragedi, apabila perahu dinaiki mereka karam di perairan Batu Payung dipukul ombak, mengakibatkan dua lemas, dan seorang masih hilang.
Dua beradik yang lemas dikenali Saiful Muhaimin, 15, ditemukan di laut, adiknya Jaidi, 5, terdampar di persisir pantai, manakala kakak mereka Rahena, 20, masih belum ditemukan.
Seorang daripada anggota keluarga yang terselamat, Zetty, 17, berkata kejadian itu berlaku pantas selepas perahu di bahagian hadapan dimasuki air dan kemudian dipukul ombak, sebelum ia terbalik.
“Kami semua jatuh dalam laut, saya dan lima adik beradik lain tidak pandai berenang terkapai-kapai di laut, saya sedaya upaya tendang kaki di air sambil pegang adik Jefry, 6, dan dapat berpaut pada tong ikan.
“Adik saya Adam, 12, sempat berpaut di tong minyak, kemudian lalu satu bot pancing dan saya minta tolong, mereka selamatkan kami tiga beradik, suami, sepupu dan jiran; tapi kakak saya dan dua lagi adik saya pada waktu itu tidak ditemui,” katanya dalam nada sebak kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Zetty, kakak dan empat adiknya pertama kali ke Pantai Batu Payung melalui jalan laut dengan menaiki perahu di Batu 4 dan tidak menyangka selepas beriadah di pantai dan sewaktu mahu pulang berlaku tragedi berkenaan.
Sementara itu ibu mangsa Mary Nasir, 48, berkata enam anaknya keluar dari rumah di Kampung Rawa-Rawa kira-kira pukul 11 pagi dan seterusnya ke Batu 4 menaiki perahu ke Pantai Batu Payung untuk bermandi-manda.
“Kemudian sekitar pukul 3 petang anak saya (Zetty) telefon bagi tahu perahu mereka karam, tiga anak tidak dapat ditemui selepas bot karam semalam, dan baru pagi ini dua ditemui,” katanya yang tidak dapat menahan tangis.
Abang mangsa Junior, 25, pula berkata dia sempat melarang adiknya pulang menaiki perahu, kerana melihat keadaan cuaca yang tidak baik.
“Ketika kejadian saya tidak ikut mereka, kerana saya mengurus baju untuk majlis kahwin saya pada 9 Jan ini, tapi 2 petang adik saya telefon mahu pulang, namun saya larang, selepas itu saya ada telefon mereka, tapi tidak berjawab, saya jadi risau, tidak sangka perahu mereka karam,” katanya anak sulung daripada 10 beradik.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Komander Amiludin Yenggah berkata dalam kejadian semalam, pihaknya menerima maklumat daripada polis berhubung kejadian di perairan Batu Payung itu pada pukul 3.40 petang.
“Proses pencarian mangsa ketiga sedang giat dijalankan bersama penduduk kampung, termasuk pasukan polis marin, bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dan menambah kejadian itu dipercayai juga berpunca daripada bebanan berlebihan di hadapan perahu.
Amiludin turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika turun ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot. – TVS