BELURAN, 2 Jan : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah hari ini terlibat dalam operasi membawa keluar jenazah wanita dari kawasan banjir di Kampung Rumidi, Batu 8, Sapinangoh, dekat sini pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO), JBPM Sabah, operasi berkenaan diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, John Francis Andam selepas menerima panggilan pada pukul 7 pagi.
“Kawasan kampung itu terletak kira – kira 80 kilometer (km) dari pusat operasi dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan berkenaan.
Operasi melibatkan penggunaan bot dan disertai oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran selesai kira – kira pukul 11.48 pagi.
Sementara itu, John Francis berkata, pihaknya terpaksa menggunakan bot kerana kawasan berkenaan itu kini ditenggelami air pada tahap yang membimbangkan.
Dalam pada itu, situasi banjir di pantai timur dan utara Sabah hari ini semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat.
Setakat tengah hari tadi, jumlah mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencecah 1,161 orang. – TVS