KUCHING, 31 Dis : Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) melihat Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai pemimpin yang tepat untuk terus mengemudi Kementerian Belia dan Sukan negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ong Kong Swee berkata, pihaknya juga teruja kerana dapat menyambung kerjasama serta merancang pelbagai pelan pembangunan sukan Sarawak bersama kepimpinan Abdul Karim.
” Majoriti pemimpin persatuan sukan di sini gembira dengan perlantikan beliau untuk terus memegang kementerian yang diterajuinya sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak lagi,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Semalam, Abdul Karim kembali disenaraikan dalam barisan kabinet baharu yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu diberi tanggungjawab untuk menerajui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Kementerian Belia , Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Mengulas lanjut, Kong Swee berkata, terdapat banyak perancangan telah dirancang bersama Abdul Karim dalam usaha untuk melonjakkan lagi prestasi kecemerlangan sukan di Sarawak.
Mengulas mengenai perancangan pada 2022 pula, Kong Swee berkata, pihaknya berharap agar SSC dapat diperbaharui menjadi Sport Sarawak menjelang 2030 yang merupakan perancangan utama.
” Kami juga mahu melahirkan lebih daripada lapan atlet paralimpik ke sukan paralimpik,” katanya.
Beliau turut memberitahu, pada September lepas, Abdul Karim turut memaklumkan Sarawak mempunyai perancangan untuk membangunkan sebuah pusat kecemerlangan sukan berhampiran Kompleks Sukan Negeri di Petra Jaya.
“Pembangunan pusat kecemerlangan sukan ini dirancang untuk menyediakan kemudahan latihan setaraf dengan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, ia juga merupakan perancangan jangka panjang untuk membolehkan atlet Sarawak bersaing di peringkat yang lebih tinggi.-TVS