KUCHING, 30 Dis : Barisan kabinet baharu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diumumkan hari ini akan memainkan peranan secara pro aktif untuk mengukuhkan peranan Sarawak selaku ‘rakan kongsi’ dalam Persekutuan Malaysia.
Ke arah itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, barisan kabinet yang dilantik oleh beliau akan berusaha untuk mengukuhkan status Perlembagaan Sarawak sebagai rakan serantau mengikut pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan lampirannya.
“ Menerusi MA63, rujukan asas hak – hak negeri Borneo Sarawak dan Sabah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan barisan kabinetnya, genap 12 hari selepas GPS yang dipimpinnya mencatatkan prestasi luar biasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, barisan kabinet yang baharu ini juga akan berusaha melaksanakan dasar ke arah era digital, pembangunan mampan, penyahkarbonan dan ekonomi baharu.
“ Ini bagi memastikan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan barisan kabinet baharu Sarawak yang terdiri daripada 10 Menteri penuh dan 26 menteri muda.
Beliau menamakan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Amar Ali Awang Tengah Hasan sebagai Timbalan Ketua Menteri II dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian sebagai Timbalan Ketua Menteri III.
Abang Johari memegang tiga portfolio iaitu selaku Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar.
Douglas Uggah pula dilantik sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu manakala Awang Tengah selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan serta Menteri Kedua Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.
Sementara itu, Dr. Sim pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Pelantikan lain dalam barisan kabinet ialah Datuk John Sikie Tayai sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Lee Kim Shin (Menteri Pengangkutan), Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah), dan Datuk Julaihi Narawi yang merupakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi.
Sementara itu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mengekalkan dua portfolio lamanya iaitu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Dato’ Sri Fatimah Abdullah turut dikekalkan untuk mengemudi Kementerian Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat manakala Datuk Roland Sagah Wee Inn pula dilantik selaku Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat. – TVS