KUCHING, 29 Dis : Rakyat Sarawak terus diingatkan untuk bersiap sedia dengan segala kemungkinan berikutan ramalan hujan lebat berterusan di bahagian barat negeri ini.
Pada masa sama, orang ramai juga perlu terus mematuhi amaran yang telah dikeluarkan terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan terdedah banjir.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Sarawak , Haburi Hamdan berkata, meskipun amaran hujan berterusan bagi peringkat waspada di Sarawak telah ditamatkan namun ekoran daripada luruan monsun, terdapat kebarangkalian berlaku hujan berterusan di bahagian barat Sarawak pada minggu hadapan.
“Luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 3 Januari 2022.
“Sehubungan itu, angin dari Timur Laut yang kencang mencapai kelajuan 60 km/jam dan laut bergelora mencapai setinggi empat meter di perairan Sarawak diramal berterusan sehingga 2 Januari 2022,” katanya.
Tambahnya, nasihat dan amaran ini sangat penting agar segala aktiviti di laut ditangguhkan buat sementara waktu dalam tempoh tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai juga sewajarnya bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan seperti dipindahkan jika perlu. -TVS