KUCHING, 28 Dis: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan pengguna telefon bimbit atau peranti 3G agar segera beralih ke rangkaian 4G sebelum rangkaian 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, ini bertujuan mengelakkan perkhidmatan telekomunikasi pengguna daripada terkesan dengan gelombang pendigitalan.
“Pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G, bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Penyelesaian penamatan rangkaian 3G ini seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” jelas kenyataan terbabit.
MCMC memberitahu, langkah ini juga bertujuan untuk mengguna semula spektrum yang sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G.
“Ia membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik dan menarik kepada pelanggan dan isi rumah,” tambah MCMC.
Selain itu, dengan 4G, para pengguna juga akan menyaksikan peningkatan kualiti yang merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestabilan rangkaian. – TVS