KUALA LUMPUR, 28 Dis : Selepas lebih 13 hari menjadi buruan, lelaki Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger akhirnya ‘masuk jerat’ apabila diberkas polis di Kedah hari ini.
Difahamkan, Long Tiger atau Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, pada 15 Disember lalu ditahan polis petang tadi.
Penahanan suspek dilakukan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang dipetik beberapa media tempatan telah mengesahkan penangkapan berkenaan.
Sementara itu, menurut sumber polis, ketika ditahan, Long Tiger bersama seorang lelaki berperwatakan wanita berusia 46 tahun berada dalam sebuah rumah yang terletak di kawasan ladang tebu di Jalan Kuala Ketil, berhampiran Sungai Petani.
Difahamkan, polis kini sedang mengenal pasti individu tertentu yang membantu dan memberi perlindungan kepada tahanan terbabit sepanjang tempoh dia meloloskan diri.
Susulan itu, polis dijangka membuat beberapa tangkapan lain bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan dan satu sidang media dijangka akan diadakan di IPK Johor tengah hari esok. -TVS