SIBU, 28 Dis : Polis menahan dua lelaki kerana disyaki menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol di sekitar bandar ini.
Kedua – dua suspek berusia 49 dan 27 tahun itu ditahan dalam Op Selamat dan Op Mabuk di Jalan Channel yang bermula pukul 9 malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dibu, Superintendan Dr. Collin Babat berkata, ujian alkohol yang dilakukan mendapati paras bacaan yang dicatatkan oleh mereka berdua melebihi had yang ditetapkan.
“Operasi ini dijalankan secara bersama oleh pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bagi mengesan pemandu serta penunggang yang melanggar undang – undang jalan raya dan seterusnya mewujudkan suasana yang lebih selamat di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Sementara itu, Collin berkata, operasi selama empat jam itu telah memeriksa sebanyak 74 buah kenderaan.
“Polis telah mengeluarkan sebanyak 17 saman melibatkan pelbagai kesalahan antaranya nombor pendaftaran tidak memenuhi spesifikasi dibenarkan, tidak menggunakan tali pinggang keledar, ubah suai ekzos dan lesen kenderaan tamat tempoh,” katanya.
Sebuah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS