SIBU, 27 Dis : Seorang wanita yang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pada malam Ahad lepas.
Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila kereta yang dinaiki wanita berusia 27 tahun itu yang dipandu rakannya melanggar tembok pagar dan pondok pengawal keselamatan sebuah sekolah di Jalan Lanang dekat sini, kira – kira pukul 9.00 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Suna Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada jam 9.11 malam.
Katanya, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit berjaya dilakukan dengan menggunakan peralatan hidraulik.
” Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan seterusnya dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi TVS di sini.
Bagaimanapun, difahamkan pihak hospital mengesahkan penumpang wanita dikenali sebagai Florin Senia Akin berasal Selangau yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia pada jam 10.55 malam ketika dalam perjalanan ke Hospital Sibu.
Difahamkan mangsa lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu. -TVS