SIBU, 25 Dis: Satu pasukan akan ditubuhkan dalam masa terdekat dianggotai wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memenangi empat daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sibu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 pada 18 Dis lepas.
Seorang daripada wakil rakyat itu, Dr Annuar Rapaee yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Nangka untuk tiga penggal berturut-turut berkata mereka sudah mengadakan mesyuarat baru-baru ini bagi penubuhan pasukan tersebut.
PRN itu menyaksikan GPS berjaya mempertahankan kerusi DUN Nangka selain memenangi kerusi DUN Bukit Assek, Dudong dan Pelawan namun tewas di Bawang Assan.
Sebelum pilihan raya lepas, Dr Annuar merupakan anggota Kabinet Sarawak yang memegang portfolio Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi dan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam.
“Sudah semestinya yang terbaik adalah menubuhkan satu pasukan untuk Sibu. Sebenarnya kita sudah mula bermesyuarat, dengan pasukan dianggotai empat wakil rakyat (GPS), lebih ramai boleh bersuara dan lebih banyak peruntukan disalurkan bagi pembangunan Sibu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih pada pengundi di Sibu kerana telah memenuhi impian saya selama ini untuk menambah bilangan wakil rakyat GPS di Sibu daripada saya seorang kepada empat sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Annuar yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata semasa mesyuarat itu juga kesemua wakil rakyat bersetuju memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah banjir di Sibu dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran dan Sarawak.
Beliau berkata tumpuan juga akan diberikan terhadap isu perumahan dan pengangkutan awam.
Ketika kegemilangan Barisan Nasional (BN) di Sibu sekitar 1990-an, satu pasukan digelar ‘Team Wawasan Sibu’ telah ditubuhkan dianggotai wakil rakyat-wakil rakyat peringkat DUN dan Parlimen untuk membangunkan bandar Sibu.
Pasukan tersebut bagaimanapun tidak kekal apabila kerusi disandang wakil rakyat BN peringkat DUN dan Parlimen telah dirampas parti pembangkang.-TVS