KUALA LUMPUR, 25 Dis : Selepas menggembirakan rakyat Malaysia dengan kejayaan merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou hari ini menceriakan mangsa bencana banjir di sekitar Hulu Langat dan Bukit Tadom di Selangor.
Juara dunia sebanyak enam kali itu mengorbankan masa sebagai atlet dengan turun padang menghulurkan sumbangan kepada masyarakat setempat yang terkesan akibat bencana alam itu.
Menurut hantaran di laman Facebooknya, antara barangan yang disumbangkan Liek Hou adalah makanan kering, selimut serta barangan elektrik.
Atlet berusia 33 tahun itu berkata beliau tidak dapat membayangkan kesedihan dan kekecewaan penduduk di kawasan itu selepas melihat keadaan jalan raya, jambatan, perumahan, kedai-kedai dan kenderaan yang rosak sepanjang perjalanan ke kedua-dua kawasan tersebut.
“Semoga sedikit pertolongan daripada saya dapat membantu mereka. Terima kasih kepada kawan-kawan sekalian yang memberi sumbangan dan pertolongan dari semua aspek. Semoga semua dalam keadaan yang baik dan boleh pulih secepat mungkin,” katanya.
Pada September lepas, Liek Hou menjadi pemenang pingat emas acara badminton Sukan Paralimpik yang pertama apabila mengungguli acara kelas SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan Anrimusthi Dheva dari Indonesia di pentas final.-TVS