KUALA LUMPUR, 24 Dis : Perdana Menteri mengarahkan Menteri yang sedang bercuti di luar negara supaya pulang segera.
Ujar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi Menteri yang bercadang untuk bercuti ke luar negara pula, mereka dinasihatkan supaya membatalkan atau menangguhkan rancangan berkenaan terlebih dahulu.
” Ini supaya kita dapat bersama – sama rakyat yang sedang berada dalam kesusahan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Kenyataan Ismail Sabri itu merujuk kepada situasi terkini banjir yang menjejaskan beberapa negeri sejak hampir seminggu lalu, masih belum pulih sepenuhnya.
Banjir yang mula melanda pada 18 Disember lalu setakat ini telah mengorbankan 41 nyawa , majoriti di Selangor dan Pahang manakala lapan masih hilang.
Perkembangan ketika ini pula menyaksikan Pahang merupakan negeri paling teruk terjejas dengan seramai 34,487 orang mangsa masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala 1,364 orang turut dipindahkan di Kelantan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada waris bagi setiap individu yang terkorban akibat banjir.
” Kita bersimpati dan sedih dengan apa yang berlaku dan kita akan beri sumbangan menerusi pejabat daerah,” katanya.
Sementara itu, Ismail hari ini turut melawat beberapa kawasan terjejas di Pahang iaitu Mentakab dan Bentong.
” Difahamkan, kesemua mangsa telah ditempatkan di 70 PPS seluruh Temerloh.
“Paras air di bandar ini sudah semakin surut tetapi jalan raya masih belum digunakan,” katanya. -TVS