Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

FAM perlu bertindak drastik, elak keaiban pada kelayakan Piala Asia

KUALA LUMPUR, 23 Dis : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil tindakan drastik supaya peristiwa perit pada kempen Piala AFF 2020 baru-baru ini, tidak berulang.

Ia penting lebih-lebih lagi ketika skuad Harimau Malaya bakal menghadapi pusingan terakhir kelayakan Piala Asia 2023 dalam tempoh kurang enam bulan (Jun 2022), dalam usaha untuk kembali beraksi di pentas Asia selepas edisi 2007 sebagai tuan rumah, dan kali terakhir layak secara merit pada 1980.

Penganalisis sukan Dr Pekan Ramli berkata FAM seolah-olah tidak belajar daripada pengajaran lama apabila tidak menunjukkan perubahan dalam menyiapkan pasukan kebangsaan dengan teratur dalam menghadapi saingan Piala AFF itu, apabila kurangnya tempoh latihan dan berdepan isu pemillihan pemain.

Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi berkata hakikatnya peminat sememangnya memahami bahawa bukan mudah untuk menjuarai Piala AFF dan berdasarkan rekod, Malaysia hanya muncul juara sekali pada 2010 serta naib juara sebanyak tiga kali (1996, 2014, 2018).

Namun, apa yang paling mengecewakan dan menyakitkan adalah prestasi serta corak permainan yang dipamerkan oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe, terutamanya dalam dua aksi penting menentang juara bertahan Vietnam dan Indonesia, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

Apa yang paling mengecewakan dan menyakitkan adalah prestasi serta corak permainan yang dipamerkan oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe, terutamanya dalam dua aksi penting menentang juara bertahan Vietnam dan Indonesia, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya pemilihan pemain untuk skuad kebangsaan dibuat menerusi panel pemilihan, serta menetapkan kriteria yang jelas dalam memanggil pemain ke kem latihan pusat menghadapi sesuatu kejohanan utama.

“Perlu ada kriteria yang jelas seperti minit perlawanan dan kecergasan pemain. Contohnya, kalau penyerang, mestilah penyerang yang telah membuktikan kebolehan dan ketangkasan menjaringkan gol di liga tempatan.

“Sekiranya pemain itu masih muda, tetapi beraksi dengan pasukan yang menduduki kedudukan baik dalam saingan utama, mungkin dia mempunyai pengalaman yang banyak. Panel pemilihan pula akan menyerahkan senarai pemain yang terbaik dan jurulatih akan membuat keputusan berdasarkan senarai itu.

“Jadi tidak timbul lah isu-isu dan perspektif negatif seperti kurang minit perlawanan, hanya pemain yang tidak letih sahaja yang dilepaskan ke skuad kebangsaan, ‘arahan dari langit’ dan sebagainya. Kalau tidak, sampai bila pun masalah ini takkan selesai,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau juga menggesa FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya bergerak seiring dalam menentukan sama ada pasukan kebangsaan lebih penting atau liga lebih penting, bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat melakukan persiapan yang secukupnya.

Pekan juga turut berpendapat bahawa barisan kejurulatihan perlu dirombak kerana corak dan falsafah permainan Malaysia dilihat jauh ketinggalan berbanding Vietnam dan Indonesia, yang mengamalkan corak perlawanan yang pantas.

“Tahap kecerdasan pun tinggi, mereka bergantung kepada kecergasan pemain-pemain muda. Kita tak boleh bergantung kepada pemain-pemain berpengalaman, contohnya bagi seorang pemain tengah, yang berfungsi sebagai enjin utama pasukan, walaupun ada skill (kemahiran), kecergasan lebih penting,” tambahnya.

Malaysia selaku naib juara 2018, memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan 3-1 ke atas Kemboja, 4-0 ke atas Laos, namun dibenam 0-3 oleh Vietnam dan 1-4 oleh Indonesia, sekali gus gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga.

Walaupun FAM meletakkan sasaran final, skuad negara yang dibelenggu pelbagai kritikan bermula daripada pemilihan pemain apabila beberapa pemain terbaik liga tidak disenaraikan, sehingga kekurangan tempoh persiapan berikutan saingan Piala Malaysia hanya tamat enam hari sebelum aksi pertama menentang Kemboja.

Turut menjadi persoalan adalah keputusan untuk hanya membawa 24 pemain berbanding 30 pemain yang dibenarkan oleh penganjur, sekali gus menyebabkan kesukaran apabila empat pemain negara disahkan positif COVID-19 dan beberapa pemain lagi mengalami kecederaan.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir meminta semua pihak supaya bersabar dan menunggu laporan bedah siasat yang akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperbaiki kelemahan yang perlu.

 “Saya juga bekas pemain kebangsaan, jika kita marah dan kecewa bayangkan pemain serta jurulatih juga mempunyai perasaan yang sama, siapa yang mahukan kekalahan?

“FAM juga dalam kenyataan baru-baru ini mengakui kegagalannya dan bakal keluarkan laporan bedah siasat dalam masa terdekat. Janganlah kita memaki jurulatih mahupun pihak pengurusan, kita cari punca kegagalan dan baiki dari situ bukan tuding jari,” katanya.

Beliau berkata kekangan masa menjadi punca membawa hanya 24 pemain dengan pemain dipilih kurang minit permainan, manakala jadual Liga Malaysia juga sudah dipinda dan disusun banyak kali untuk kesesuaian skuad Harimau Malaya dan MFL.

 “Umum mengetahui tarikh untuk daftar 30 pemain ialah pada 24 Nov dan tidak seperti pasukan negara lain yang saingan domestik mereka sudah habis, Malaysia pula masih ada pemain-pemain yang beraksi untuk separuh akhir dan final Piala Malaysia.

“Jurulatih pastinya tidak boleh mendaftarkan pemain buat masa itu kerana bimbang ada yang dihimpit isu kecederaan maka dari situ saya lihat kita terlepas peluang mendaftarkan lebih ramai pemain kerana sudah melepasi tarikh tutup pendaftaran,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan