KAPIT, 21 Dis : Isu kesesakan parkir di Kapit dijangka dapat diselesaikan dengan adanya kemudahan Bangunan Letak Kereta Bertingkat yang terletak di tengah-tengah bandar.
Bangunan letak kereta bertingkat ini yang dilengkapi lif terletak di Jalan Yong Moo Chai mula beroperasi pada 25 April 2021.
Tinjauan krew TVS mendapati rata-rata penduduk menyambut baik kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Daerah Kapit.
Menurut Jelanie Tage, dengan adanya kemudahan ini, ia memudahkan penduduk yang turun ke bandar Kapit untuk meletak kenderaan.
“Sebelum ini sangat susah untuk mencari tempat letak kereta apabila kita turun ke bandar. Kadang-kadang sampai setengah jam kita berpusing mencari ruang untuk meletak kereta.
“Bangunan ini juga selamat dan kita mengharapkan kemudahan seperti ini dapat ditambah lagi,” katanya.
Jelanie menjelasnya, oleh kerana tempat letak kereta di bandar Kapit tidak menggunakan sistem kupon, orang ramai biasanya meletak kereta mereka dalam tempoh yang lama di satu-satu tempat sehingga menyebabkan orang lain susah untuk mencari tempat letak kereta.
Bagi Imong Meringgang pula, semenjak bangunan ini beroperasi, ia telah melancarkan pergerakan kenderaan, dan orang ramai yang datang dari kawasan luar bandar, terutamanya dari rumah panjang, boleh terus meletakkan kenderaan mereka di tempat ini.
“Kenderaan akan bertambah dan sesak pada hujung minggu dan musim perayaan. Dengan adanya tempat letak kereta ini, kita tidak perlu risau untuk meninggalkan kereta bagi tempoh yang lama,” katanya.
Selain itu, Imong mengingatkan orang ramai untuk menggunakan kemudahan tersebut dengan baik termasuk menjaga kebersihan dan kemudahan yang disediakan demi memastikan keselesaan bersama.
Sementara itu, Elizabeth Dority berkata, bandar Kapit memiliki kawasan yang terhad menyebabkan orang ramai susah untuk mendapat tempat letak kereta terutamanya bagi mereka yang akhir turun ke pasar.
“Pengunjung luar Kapit, seperti dari Sibu, Song dan Kanowit yang datang ke bandar Kapit, lebih mudah mendapatkan tempat letak kereta setelah kemudahan ini disediakan.
“Ini dapat menjimatkan masa kita mencari ruang letak kereta,” tambahnya.
Bangunan enam tingkat berkenaan mampu menampung 140 buah kenderaan pada satu masa dan turut dilengkapi gerai makanan dan minuman serta sebuah Pusat ICT kendalian Sarawak Multimedia Authority (SMA), namun buat masa sekarang, gerai makanan dan minuman belum dibenarkan beroperasi.
Kemudahan ini bertepatan dengan inisiatif Kerajaan Sarawak yang ingin menyediakan kemudahan di bandar bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat termasuk menyediakan infrastruktur utama dan moden melalui pembangunan pusat-pusat kewangan, komersial dan industri. – TVS