TATAU, 22 Dis : Seorang pekerja kapal tunda yang dikhuatiri jatuh ke dalam sungai dijumpai selamat selepas empat hari ‘hilang’.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, mangsa yang merupakan jurumudi kren disedari hilang oleh juragan kapal berkenaan semasa tiba di Kem Kelebu, Tatau pada petang 18 Disember lalu.
Menurut Wan Kamaruddin, pihaknya menerima maklumat awal kes itu pada 19 Disember lalu dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat lelaki berkenaan.
“Mangsa dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai semasa kapal tunda berkenaan dalam perjalanan balik dari mengambil pasir di Tanjung Pasir Rumah Pandong menuju ke Kem Kelebu, Tatau ,” katanya ketika dihubungi TVS.
Ujarnya, pencarian awal mangsa yang dilakukan oleh pihak kem pada hari kejadian namun gagal.
Difahamkan mangsa berusia 30 tahun berteduh di sebuah gereja lama.
Wan Kamaruddin memberitahu, pasukan Bomba dan Penyelamat Tatau telah memulakan operasi mencari dan menyelamat pada jam 9.00 pagi Ahad lepas sehingga semalam namun tidak berhasil.
“Kami telah menjalankan operasi pencarian dengan menyusuri sungai sejauh 40 kilometer (km) . Pagi tadi, kita telah menerima maklumat daripada polis bahawa mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat,” ujarnya.
Mangsa telah ditemui oleh orang awam di tepi jalan yang kemudian menghantarnya ke Kem Kelabu.
Mangsa telah diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya. -TVS