JOHOR BAHRU, 22 Dis : Bekas Menteri Besar Johor Dato’ Osman Sapian meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, pada pukul 11.45 malam tadi (Selasa).
Perkara itu disahkan oleh abangnya, Dato’ Aziz Sapian, semalam.
“Saya diberitahu mengenai pemergiannya oleh salah seorang adik saya lebih kurang (jam) 11.00 lebih tadi.
Buat masa ini, ahli keluarga di Kuala Lumpur sedang menguruskan urusan jenazahnya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama tengah malam tadi.
Pada 13 Oktober lepas, Osman, 69 tahun, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas dan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia Ayer Hitam, dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor di sini selepas mengalami serangan angin ahmar ringan.
Pada November lalu, beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.
Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor Ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 12 Mei 2018 dan memegang jawatan itu hingga 8 April 2019. – TVS