Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Banjir di Shah Alam

Banjir besar kini ragut 27 nyawa

KUALA LUMPUR, 22 Dis : Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas hingga kini telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi berbanding banjir besar yang berlaku pada 2014.

Dua puluh daripadanya terkorban di Selangor manakala tujuh lagi di Pahang.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa, seramai 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaharu di Klang.

Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor, iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas hingga awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata enam daripada mayat tersebut ditemui di dalam beberapa rumah yang melibatkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.

“Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada jam 6.00 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada jam 12.00 tengah hari dan 2.00 petang, lima mayat ditemui semalam antara jam 12.00 tengah hari dan 8.35 malam yang melibatkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Norazam berkata mayat seorang wanita lagi ditemui pada jam 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.

Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33, di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas, dan di bawah Lebuh Raya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.

Korban banjir di Pahang pula melibatkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.

Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan, iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan – satu mayat ditemui, dua masih hilang – dan di Telemong yang melibatkan penduduk kawasan itu, dan hingga petang semalam, empat mayat ditemui manakala seorang lagi masih hilang.

Pada 2014, banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor, mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilaporkan hilang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan