KUCHING, 22 Dis : Beberapa hari selepas diberikan mandat oleh pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Lingga, wakil rakyat baharu kawasan itu, Dayang Noorazah Awang Sohor dilihat mula melaksanakan tugasnya.
Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu semalam dilihat turut ke Pasar Tamu Baru Sri Aman untuk bertanya khabar kepada kepada peniaga yang mencari rezeki di situ.
Dayang Noorazah juga ‘sempat’ mempromosikan tapak niaga berkenaan kepada pengikutnya di media sosial.
” Mari singgah di sini untuk menikmati juadah dan barang – barang tempatan yang dihasilkan oleh penduduk Simanggang,” katanya.
Sebelum ini pada 2018, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM12 juta untuk melaksanakan dua projek menambah baik kemudahan awam di kawasan itu.
Jumlah itu ujar Abang Johari meliputi RM7 juta untuk menaik taraf Dewan Suarah dan RM5 juta untuk menambah baik pasar tamu berkenaan yang mempunyai 240 lot niaga.
Semalam, Dayang Noorazah juga dilihat melawat jeti nelayan di Kampung Tengah dan disambut oleh persatuan nelayan di situ.
Berdasarkan tinjauan itu, penduduk sekitar mengambil peluang menyuarakan beberapa masalah di halaman Facebook wakil rakyat berkenaan.
Qiff Lee menulis, dia berharap masalah yang dibangkitkan oleh penduduk dapat diberi perhatian.
” Kawasan tebingan jeti yang sudah terhakis hampir 80 peratus perlukan perhatian.
” Berlaku juga runtuhan di gelanggang futsal yang memerlukan proses baik pulih dilakukan,” tulisnya.
Sementara itu, Dayang Noorazah turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Lingga yang memberi sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak , Sabtu lepas.
” Inilah mandat yang rakyat berikan dan saya akan mengerahkan sepenuh tenaga untuk memperjuangkan hak DUN Lingga,” tulisnya.
Pada Sabtu lepas, Dayang Noorazah menang dalam pertandingan enam penjuru di kerusi berkenaan selepas mendapat 3,700 undi sekaligus menewaskan pencabar terdekatnya , Dato Wan dari Parti Sarawak Bersatu yang mendapat 1,427 undi.
Turut tumbang ialah Mohd. Sepian Abang Daud (calon bebas) yang meraih 880 undi, Baha Anak Imam (Parti Bumi Kenyalang) yang menerima 139 undi , Abang Kassim Abang Bujang (PKR, 130 undi) dan Abang Ahmad Abang Suni(Parti Sedar Rakyat Sarawak, 92 undi).
Dayang Noorazah menang dengan 2,273 majoriti. -TVS