MOSCOW, 21 Dis : Aneh tetapi benar. Sukan baharu yang semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan di Rusia adalah gusti di dalam kereta.
Peminat gusti di Rusia telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang dikenali sebagai ‘car jitsu’, yang diilhamkan oleh seni pertahanan diri yang popular di Brazil, Jiu-Jitsu.
Menurut Reuters, pertarungan berlangsung dalam dua pusingan dengan setiap peserta memulakan pusingan sama ada di tempat duduk pemandu atau tempat duduk penumpang, dan mereka akan bertukar kedudukan antara pusingan.
Mata diberikan kepada lawan sekiranya mereka menyerah diri atau mendapat posisi yang memberi kelebihan.
“Kunci untuk memenangi pertandingan ini adalah dengan menggunakan segala aksesori dan persekitaran yang terdapat di dalam kereta ini”, kata penganjur pertandingan, Vikentiy Mikheel.
Beliau menjelaskan, segala apa yang ada di dalam kereta ini, termasuk tali pinggang keselamatan, stereng, cermin dan kerusi, boleh digunakan sebagai kelebihan dalam pertarungan gusti itu.
“Tali pinggang keselamatan merupakan alat yang sangat berkesan untuk melumpuhkan lawan,” kata salah seorang peserta Mikheev yang menjelaskan taktik ‘car jitsu’ sambil memberikan beberapa petunjuk. – TVS