Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
SHAH ALAM, 19 Dis -- Suasana di Persiaran Tuanku Ampuan hari ini, yang telah ditenggelami air sehingga pengguna jalan raya tidak dapat meneruskan perjalanan mereka berikutan banjir kilat yang melanda di beberapa tempat sekitar Lembah Klang sejak semalam. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pagi ini memaklumkan beberapa jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir. Jalan-jalan tersebut termasuk di bawah seliaan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Klang Utara, Sungai Buloh, Subang Jaya, Kuala Langat, Sepang dan Shah Alam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Banjir: 14 korban direkodkan di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 20 Dis : Tempoh 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan buat mangsa yang terjejas, dengan banjir memasuki hari ketiga pada hari ini.

Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana itu telah direkodkan.

Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang, dan empat lagi dilaporkan masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong. 

Penemuan mayat tersebut menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur. 

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kematian akibat banjir direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, daerah Kajang dengan dua kematian, dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.

Satu mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, dipercayai mangsa lemas pertama, ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam semalam.

Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada jam 1.00 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada jam 5.00 pagi tadi oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja penyelamatan sedang dijalankan, dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang pada hari ini, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor semalam.

Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk yang dipercayai berlaku sekitar jam 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang, dan ia disahkan oleh Baharudin kepada Bernama.

Di Pahang pula, operator kilang berusia 38 tahun, M. Gunalan, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada jam 2.22 petang Jumaat (17 Dis), kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat terjatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada jam 1.00 pagi semalam, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu yang dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat  (SAR) pad hari ini yang memulakan operasi bermula jam 9.00 pagi di kawasan mereka dilaporkan hilang.

Mayat lelaki ditemukan pada jam 1.00 tengah hari semalam manakala mayat tiga wanita ditemukan pada jam 1.20 tengah hari, 2.00 petang dan 4.23 petang semalam, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Di Perak, meskipun cuaca diramal baik hingga esok pagi di kebanyakan tempat, namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di Terengganu, paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini berada pada paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4 m.

Di Kuala Lumpur, seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS, namun keadaan baik pada hari ini menyaksikan 10 jalan, yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.

Di Kelantan, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai, yang merekodkan bacaan 36.67 m, Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10 m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29 m), dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19 m).

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan, Lt. Kol. (PA) Mohd Syukri Madnor, berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik pada hari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan