KAPIT, 20 Dis : Pembinaan rumah mampu milik merupakan antara kemudahan yang didambakan oleh penduduk di bandar ini.
Rata – rata mereka yang ditemui TVS berharap Kerajaan Sarawak dapat melaksanakan inisiatif berkenaan bagi membolehkan golongan B40 memiliki kediaman sendiri.
Seorang penduduk di sini, Liza Bidai berkata, sekiranya perumahan mampu milik dibina, ia akan memberi peluang kepada penduduk yang tinggal berdekatan bandar Kapit dan rumah panjang untuk membeli rumah di kawasan bandar.
“ Berdasarkan pemerhatian saya, kegiatan ekonomi di sini semakin berkembang.
“Populasi penduduk juga bertambah sekaligus menyebabkan kawasan perumahan amat diperlukan di sini,” katanya.
Katanya, bagi penduduk yang bekerja sebagai penjawat awam di bandar ini, mereka juga berminat untuk memiliki rumah mampu milik.
“Sekiranya lebih banyak (rumah mampu milik) dibina di sini, mereka tidak perlu membeli rumah di Sibu, Sarikei dan Kuching,” katanya.
Bagi Mohamad Shamsul Mohamad Johari pula, antara kemudahan yang diperlukan ialah menambah baik kelajuan internet sedia ada bagi memudahkan pelajar sekolah yang masih bergantung kepada kaedah pembelajaran secara dalam talian.
“Peniaga tempatan juga akan dapat melebarkan operasi mereka secara dalam talian dengan lebih berkesan sekiranya akses internet di sini ditingkatkan,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengalaman, kadar liputan internet yang rendah menyebabkan pelajar berdepan kesukaran untuk menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) selain kurang memahami topik yang dibincangkan bersama guru.
“Usahawan kecil di Kapit juga sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan online iaitu menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter.
“Capaian internet yang laju dapat membantu mengembangkan lagi produk jualan dan meningkatkan hasil pendapatan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, Asmawi Lee berkata, golongan belia dan lepasan universiti di Kapit pula memerlukan peluang pekerjaan diwujudkan di sini.
“Ada di kalangan rakan – rakan saya di sini hilang pekerjaan sejak pandemik COVID-19 melanda, mereka terputus pendapatan,” katanya.
“Saya berharap agar Kerajaan Sarawak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Asmawi turut mencadangkan supaya program keusahawanan diperhebatkan sekaligus membuka ruang kepada belia di Kapit memulakan perniagaan dan mencipta peluang kerja. -TVS