KUCHING, 19 Dis : Pemilik kediaman yang terjejas akibat kejadian hujan lebat dan angin kencang di Taman Puteri , Moyan Square, Batu Kawah petang tadi akan diberi bantuan menerusi inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima beliau, setakat ini lebih 20 rumah mengalamai kerosakan kecil terutamanya membabitkan struktur pada bahagian bumbung.
” Keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini yang disebabkan perubahan iklim turut menjejaskan kawasan tempatan.
” Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada penduduk yang mengalami kecederaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Dr. Sim meluangkan masa meninjau kawasan terjejas lewat petang tadi.
Katanya, bantuan yang disediakan kerajaan negeri akan disalurkan segera kepada penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘mini tornado’
Beberapa kawasan berhampiran pusat bandar termasuk Tupong antara yang terjejas akibat kejadian hujan lebat diringi angin kencang yang berlaku kira – kira pukul 2.30 petang tadi.
Sementara itu, Dr. Sim yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak turut mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan #TeamDrSim yang segera turun ke lokasi membantu mangsa terjejas dan trauma berikutan kejadian itu. -TVS